Penginapan Pelajar

Picture №1 – Student Lodging
© FEFU

Pilihan penginapan utama yang biasa bagi pelajar antarabangsa di Rusia adalah bilik asrama universiti, apartment sewa atau keluarga angkat. Adalah sangat penting untuk mencari pilihan terbaik sesuai dengan bajet. Pertimbangkan semua kebaikan dan keburukan sebelum membuat pilihan. Pilihan tempat tinggal anda menentukan kejayaan akademik anda.

Bilik asrama Universiti

Ini pilihan paling mampu milik. Pelajar antarabangsa dan luar bandar disediakan bilik asrama. Biasanya bilik asrama terletak di kampus atau tidak jauh dari universiti. Dalam kebanyakan kes 2 hingga 4 orang pelajar berkongsi satu bilik. Dalam bilik asrama yang biasa anda akan mendapati meja tulis, kerusi, almari pakaian, rak buku, katil dan meja malam. Bilik asrama universiti biasanya dilengkapi dengan dapur yang dikongsi, gimnasium, bilik riadah, kantin dan kedai dobi layan diri. Terdapat juga lokar dan bangsal basikal. Perkhidmatan keselamatan beroperasi di premis ini.
Picture №2 – Student Lodging
© IKBFU

Yuran penginapan ditentukan oleh universiti. Nilainya berbeza daripada 500 hingga 5,000 rubel sebulan, bergantung kepada universiti dan bandar, menjadikannya pilihan lebih murah berbanding apartment sewa. Bayaran boleh dibuat secara bulanan atau setiap penggal. Kadangkala anda boleh juga bayar lebih awal bagi keseluruhan tahun akademik. Dalam hal ini ada universiti yang mungkin menawarkan diskaun kepada anda.

Pelajar yang tinggal di bilik asrama mesti mengikut peraturan tertentu. Peraturan paling jelas adalah tidak merosakkan perabot, memastikan bilik kemas, tidak membuat bising (bunyi muzik dan TV yang kuat, dll), memaklumkan penyelia dewan kampus akan ketidakhadiran ahli dalam tempoh yang lama. Terdapat dasar toleransi sifar bagi minum arak dan merokok di dewan kampus. Anda akan dimaklumkan berkenaan peraturan ini ketika ketibaan.

Anda layak untuk tinggal di bilik asrama jika anda:

  • pelajar sepenuh masa, mendaftar dalam program pendidikan utama (bagi tempoh keseluruhan program ijazah);
  • pelajar seperuh masa, mendaftar dalam program pendidikan utama (ketika interim dan peperiksaan akhir).

Tanya wakil universiti anda samada anda layak untuk tinggal di bilik asrama semasa anda menghantar permohonan pendaftaran, atau cari di laman sesawang universiti.

Pastikan dari mula anda jelas akan semua maklumat penting:

  • lokasi bilik asrama;
  • jenis bilik, kemudahan yang ada;
  • kos dan pilihan bayaran.

Jika semuanya sesuai dengan anda, anda boleh teruskan untuk menghantar permohonan kampus.

Ingat, anda boleh mendapat tempat di bilik asrama melalui wakil universiti sahaja, dan hanya melalui perjanjian penyewaan. Syarikat dan ejen yang mendakwa mereka boleh mendapatkan tempat untuk anda di bilik asrama adalah penipu.

Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan bilik asrama untuk pelajar antarabangsa di sini.

Apartment Sewa

Jika universiti anda tidak mempunyai bilik asrama atau atas sebab tertentu anda tidak mempertimbangkannya sebagai pilihan, jadi anda dinasihatkan mencari apartment sewa atau bilik. Kebiasaannya, ini akan lebih mahal, tetapi anda boleh mencari lokasi dan tahap keselesaan yang sesuai dengan anda. Jika anda bercadang untuk menyewa dengan rakan pelajar atau dengan keluarga angkat, anda boleh memilih jiran anda.
Picture №3 – Student Lodging
© TSU

Moscow dan St. Petersburg terkenal dengan apartment yang termahal. Bandar yang lebih kecil dan lebih jauh dari bandar besar, sewanya lebih rendah. Sebagai contoh, pada tahun 2020 di Moscow, bergantung kepada lokasi dan kemudahan yang ada, tempat tidur akan berharga sekitar 30-35 ribu rubel ($428-500) sebulan, dan satu bilik sekitar 15-20 ribu rubel ($214-286) sebulan). Di Novosibirsk, pilihan yang sama adalah 50% lebih murah.

Ada universiti yang membantu pelajar mereka mencari penginapan, juga termasuk mencari keluarga angkat. Jadi, tanya dahulu wakil universiti anda sama ada mereka menyediakan perkhidmatan seperti ini. Ini untuk memastikan pilihan pencarian penginapan yang cepat dan selamat. Sementara mencari apartment yang sesuai, anda boleh tinggal di bilik asrama.

Jika universiti anda tidak menyediakan perkhidmatan tersebut, dapatkan khidmat nasihat berkenaan ejen hartanah atau cuba cari apartment melalui cian.ru, irr.ru, avito.ru dll.

Perlu diingat bahawa selain daripada sewa anda perlu membayar deposit (bayaran cagaran 100% daripada sewa bulanan) dan faedah ejen harta tanah (50-100% daripada sewa bulanan).
Kongsi